Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2014 - FLORIA Putrajaya 2014
Memandangkan ini adalah kali ketujuh acara ini diadakan, Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pihak penganjur sedang membuat persiapan untuk mempersembahkan satu pameran yang lebih besar dan lebih baik buat pengunjung di tapak baru dan kekal di Pesisiran Tasik, Presint 4.
FLORIA Putrajaya 2014 akan mempamerkan reka bentuk dari peserta antarabangsa yang terdiri daripada pereka taman, pereka gubahan bunga serta Pertubuhan/ Persatuan Floral Antarabangsa. Selain mempamerkan reka bentuk taman dalaman dan taman luaran, pelawat diberi peluang untuk menikmati kreativiti dan kepakaran pereka landskap tempatan dan antarabangsa melalui lebih daripada 80 rekaan taman luar oleh agensi-agensi kerajaan , badan-badan korporat, sektor swasta, persatuan-persatuan, universiti serta sekolah menengah dan rendah.
Antara kelainan yang akan dibawakan di Floria 2014 ini adalah “Taman Bertema” di mana peserta pameran taman akan diberi tema rekabentuk seperti Taman Perkahwinan, Taman Bandar, Taman Pereka, Taman Fantasi, Taman Futuristik, Taman Melawat Malaysia dan Taman Piala Dunia.
Tarikan lain yang akan memeriahkan Floria 2014 adalah Bazar Tanaman dan Pasar Hortikultur yang akan menjual segala keperluan perkebunan dan tumbuh-tumbuhan seperti pokok hiasan, pokok ulam-ulaman, pokok buah-buahan, pokok bunga berpasu, perabot taman, peralatan taman, produk bioteknologi dan perkhidmatan landskap. Justeru itu, lebih daripada 200 aktiviti harian akan diadakan sepanjang sembilan hari FLORIA Putrajaya berlangsung. Aktiviti-aktiviti ini termasuk demonstrasi gubahan bunga, bengkel berkebun, acara hiburan, pertandingan fotografi, pertandingan cat air, pertunjukkan fesyen serta seni dan kraf.
Penganjuran FLORIA Putrajaya pada kali ini juga dimeriahkan dengan keloborasi rakan kongsi bijak atau smart partners yang turut terlibat menjayakan FLORIA Putrajaya bagi mendekatkan jenama produk mereka kepada pengunjung.
Sepertimana setiap kali penganjuran FLORIA Putrajaya, tarikan baru sentiasa disediakan untuk memberi nilai tambah kepada acara tahunan ini. Pada tahun ini, antara tarikan utamanya adalah Taman Di-Raja, Taman Tergantung, Taman Begonia, Taman Orkid, Tea Party Garden dan Taman Inovasi.
Kini dianjurkan sebagai acara tahunan, FLORIA Putrajaya sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang ramai kerana keunikan dan keindahan flora yang dipamerkan di taman-taman berlandskap yang direka menarik, ditambah pula dengan lampu berkilauan pada waktu malam.
Menjanjikan pameran yang menakjubkan di Pesisiran Presint 4, FLORIA Putrajaya dibuka kepada lawatan umum mulai 14 hingga 22 Jun 2014 dari 9:00 pagi – 10:30 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari pukul 9:00 pagi hingga 12:00 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).
Untuk maklumat lanjut, sIla layari http://floriaputrajaya.com.my