Saturday, 21 June 2014

Universiti Malaya (UM): Isu Pemakaian Purdah atau Niqab Ketika Menjalani Peperiksaan

Seksyen Peperiksaan, Universiti Malaya:
Merujuk kepada laporan portal berita dan posting seperti yang tersebar di laman sosial, Seksyen Peperiksaan Universiti Malaya ingin menjelaskan beberapa kekeliruan berhubung isu pemakaian purdah atau niqab sewaktu menduduki peperiksaan.

Sepertimana yang termaktub dalam Arahan Am Peperiksaan [perenggan 1(3)(e)] yang diluluskan oleh Senat antara lain menyatakan bahawa pelajar dilarang memakai apa-apa pakaian yang menutup muka.

Secara khusus, menurut perenggan 1(3)(e) Arahan Am Peperiksaan (Jadual C) di bawah Peraturan-Peraturan Universiti Malaya (Pengajian Ijazah Pertama) 2013 yang diluluskan Senat pada 25 Julai 2013, adalah kesalahan buat pelajar untuk:

(e) memakai apa-apa pakaian yang menutup muka, pakaian yang tidak sopan dan tidak sesuai dengan keadaan, selipar, topi, seluar pendek dan sarung tangan (kecuali pelajar perubatan di klinik dan makmal) di dewan peperiksaan.

Peraturan ini juga sudah dimaklumkan kepada pelajar sudah dimaklumkan menerusi laman web portal pelajar myum.um.edu.my > login > Rules and Regulations > Peraturan-Peraturan Universiti Malaya (Pengajian Ijazah Pertama) 2013.

Kenyataan yang menyatakan pelajar diminta keluar dari peperiksaan adalah tidak tepat kerana kami dengan cara yang berhemah telah meminta pelajar ke bilik air untuk membukanya.

Pihak kami juga telah menjelaskan kepada pelajar kenapa niqab tidak dibenarkan semasa menduduki peperiksaan iaitu bagi tujuan pengecaman dan menggelakkan daripada pelajar membawa masuk barangan larangan seperti earphone dan alat rakaman yang diletakkan di telinga sepertimana yang pernah berlaku pada semester yang lalu.

Seksyen Peperiksaan tidak pernah menghalau pelajar berkenaan keluar dari dewan peperiksaan  sepertimana yang tersebar di media sosial. Kenyataan bahawa pihak kami meminta pelajar berbuat demikian sewaktu peperiksaan sedang berlangsung adalah tidak benar juga kerana ianya dibuat di awal sesi peperiksaan.

Untuk makluman, para petugas peperiksaan yang terdiri dari pegawai-pegawai Seksyen Peperiksaan tidak pernah menghalau mana-mana pelajar keluar semasa peperiksaan sedang berjalan seperti yang dilaporkan dalam media sosial. Ingin ditegaskan, para petugas peperiksaan diberikan taklimat dalam pengendalian sesi peperiksaan dan memastikan para pelajar berada dalam keadaan selesa, tenang serta tidak terganggu emosi semasa menjawab soalan.

Dengan penjelasan ini, pihak kami menganggap isu ini sebagai selesai dan para pelajar UM dapat menghabiskan sesi peperiksaan akhir dalam keadaan tenang dan selesa. Adalah menjadi keutamaan pihak kami untuk berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik buat para pelajar dalam apa jua keadaan.