Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM):
Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2015
Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 akan diadakan pada hari Khamis, 3 Mac 2016 jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.
Pada tahun ini, seramai 440,682 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM di 3,501 pusat peperiksaan di seluruh negara. Daripada jumlah 440,682 calon, 379,466 calon adalah calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 9,785 adalah calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (contoh: MRSM), 7,767 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 12,216 adalah calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM, 29,799 adalah calon persendirian manakala baki 1,647 adalah dari Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Calon-calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM mereka dari sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama. Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.
Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan perkhidmatan semakan keputusan peperiksaan SPM melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM jarak nombor kad pengenalan jarak angka giliran dan hantar ke 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10.00 pagi, 3 Mac 2016 dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, 9 Mac 2016.
Kementerian Pendidikan Malaysia
25 Februari 2016