Skip to main content

Borang Permohonan Pendaftaran Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan SSM

Borang Permohonan Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan SSM
Borang Permohonan Pendaftaran Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan SSM

PENDAFTARAN PERNIAGAAN SECARA PERCUMA MELALUI SKIM 1PELAJAR 1PERNIAGAAN

Berkuatkuasa 1 Januari 2017, pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S) yang ingin mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 akan dikecualikan daripada dikenakan sebarang bayaran.

Inisiatif ini diberikan melalui geran RM10 juta yang telah diperuntukkan khas oleh SSM yang mana ia akan dibahagikan sebanyak 1 juta setiap tahun bagi tempoh 10 tahun.

Melalui geran tersebut setiap pelajar yang memohon hanya layak sekali sahaja mendaftarkan perniagaan sama ada di bawah milikan tunggal (nama perniagaan menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan atau nama tred) ataupun perniagaan perkongsian menggunakan nama tred untuk tempoh satu tahun sahaja.

Tanpa geran yang diberikan ini, golongan pelajar berkenaan wajib membayar fi pendaftaran perniagaan seperti berikut:
  • a) Perniagaan milikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan – RM30.00 setahun;
  • b) Perniagaan milikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred – RM60.00 setahun; dan
  • c) Cetakan maklumat – RM10.60 termasuk kos GST.
Penambahan cawangan perniagaan adalah tidak termasuk di dalam inisiatif ini. Inisiatif ini dibuat bertujuan untuk menggalakkan dan memberi kesedaran kepada golongan muda terutamanya di kalangan para pelajar yang berkecimpung dalam bidang keusahawan untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara sah di sisi undang-undang. Selain itu menerusi inisiatif ini ianya merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSM dalam membantu para pelajar untuk menjadikan perniagaan sebagai pilihan kerjaya mereka pada masa hadapan.

Syarat-syarat Skim 1Pelajar 1Perniagaan SSM

Berikut merupakan syarat-syarat bagi skim di atas:
  1. Pemohon adalah warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas;
  2. Sedang mengikuti pengajian secara sepenuh masa di mana-mana IPTA/IPTS/Politeknik/Kolej/Institut Kemahiran/Pusat Kemahiran di dalam negara;
  3. Permohonan yang boleh dipertimbangkan adalah bagi satu pendaftaran perniagaan baharu untuk tempoh satu tahun sahaja bagi setiap pelajar di sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini;
  4. Pemohon boleh memilih untuk mendaftar perniagaan pemilikan tunggal atau perkongsian (rakan kongsi hendaklah terdiri dari kalangan pelajar sahaja); dan
  5. Pembaharuan pendaftaran perniagaan setelah tamat tempoh setahun akan dikenakan bayaran seperti biasa.

Proses Pendaftaran Skim 1Pelajar 1Perniagaan SSM

Bagi melaksanakan skim ini, proses pendaftaran perniagaan adalah seperti berikut:

1) Permohonan hanya boleh dikemukakan melalui kaunter perkhidmatan pendaftaran perniagaan SSM di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan mengemukakan dokumen-dokumen seperti berikut;
  • a) Kad Pengenalan;
  • b) Dua (2) salinan kad pelajar yang masih dalam tempoh sahlaku; dan
  • c) Salinan asal surat perakuan pelajar IPTA/IPTS/Politeknik/Kolej/Institut Kemahiran/Pusat Kemahiran.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi pusat panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my.

'PERNIAGAAN ADA BERMULA DI SSM'

Suruhanjaya Syarikat Malaysia