Skip to main content

MP Wanted Matriculation to be Terminated

Utusan Online:
Ahli Parlimen pembangkang meminta supaya program matrikulasi dihapuskan meskipun sistem berkenaan telah terbukti berkesan sebagai persediaan kepada pelajar golongan bumiputera sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama.

Dr. Siti Mariah Mahmud (PAN-Kota Raja) berkata, program berkenaan sepatutnya digantikan de­ngan tingkatan enam sahaja meman­da­ng­kan pelajar daripada program tersebut masih tidak cukup matang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

“Saya mahu membawa cadangan mengenai tingkatan enam, sebagai bekas pensyarah selama 14 tahun di universiti, saya dapat membezakan kualiti pelajar yang datang daripada tingkatan enam dan matrikulasi.

“Saya sedar matrikulasi adalah jalan pintas untuk meningkatkan jumlah pelajar bumiputera di universiti berbanding tingkatan enam, adakah kerajaan melihat semula kerelevanan sistem ini, biarkan ada satu tingkatan enam sahaja yang menghasilkan penuntut lebih matang dan bersedia ke universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Usul Menjunjung Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Anuar Abd. Manap (BN-Sekijang) di Dewan Rakyat hari ini.

Program matrikulasi yang turut dikenali sebagai prauniversiti telah diperkenalkan kerajaan sejak lebih 30 tahun lalu dan terbukti berjaya melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai bumiputera serta tenaga mahir dalam bidang profesional dan kritikal.

Cadangan Siti Mariah itu telah dibidas Dr. Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang menegaskan program matrikulasi telah berjaya melahirkan ramai pakar bumiputera termasuk dalam bidang sains.

“Dasar ini sudah lama, dasar ini melahirkan pakar sains, pemimpin-pemimpin di Malaysia, saya sendiri lahir daripada matrikulasi.

“Saya tidak setuju kurangnya kematangan berbanding tingkatan enam tetapi pada pendapat saya tidak salah juga tingkatan enam diteruskan kerana banyak perubahan sekarang, namun untuk mengatakan matrikulasi tidak matang, itu saya tidak setuju,” tegas beliau.

Sementara itu, dalam perbahasannya, Anuar berkata, ibu bapa tidak sepatutnya melihat tingkatan enam sebagai pilihan terakhir jika gagal memasuki universiti atau matrikulasi, sebaliknya ia adalah persediaan terbaik sebelum melanjutkan pelajaran.

Tambahnya, tingkatan enam juga jauh lebih murah berbanding jika ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke program diploma di universiti swasta yang menelan kos sehingga puluhan ribu ringgit.
Fascinating request coming from a bumiputera member of parliament.